Kisah Menarik Di Sebalik Pengislaman Hana Tajima : Wanita Kacukan Jepun/Inggeris
Sejak kebelakangan ini, nama Hana Tajima
Simpson mula menjadi topik perbincangan di kalangan blogger Muslimah. Nama
gadis kacukan Jepun dan Inggeris ini dikenali kerana gaya berhijabnya yang unik
dan lebih kasual. Wajah manis ini juga telah mula menghiasi sejumlah media di UK
dan Brazil.
Hana yang lebih dikenali sebagai seorang pereka
fesyen membuat kejutan melalui produk dengan jenama Maysaa. Produk yang telah
dilempar ke pasaran dunia itu berupa hijab bergaya 'layers'. Melalui jenama
tersebut, Hana mencuba untuk memperkenalkan gaya berbusana yang trendi, namun
tetap sesuai dengan syariat Islam di kalangan Muslimah.
Mula memeluk Islam seawal usia 17 tahun,
Hana datang daripada latar belakang keluarga Kristian yang tidak terlalu
mementingkan agama dalam kehidupan mereka. Ayahnya berasal dari Jepun manakala
ibunya merupakan seorang wanita Inggeris. Minatnya kepada Islam bermula semasa
belajar di sekolah tinggi. Hana bertemu dan bersahabat dengan beberapa pelajar
Muslim.
Pada pandangan Hana, sahabat-sahabatnya yang
beragama Islam kelihatan berbeza dengan yang lain. "Mereka kelihatan menjaga
jarak dengan beberapa pelajar tertentu. Mereka juga menolak ketika diajak untuk
pergi berhibur di sebuah kelab malam." katanya. Bagi Hana, perkara itu sangat
menarik. Selain itu, sahabat-sahabatnya yang Muslim dianggap sangat menyenangkan
apabila diajak berbincang berkaitan hal kuliah. Menurutnya, pelajar Muslim lebih
banyak menghabiskan masa mereka membaca di perpustakaan ataupun
berbincang.
Dari sahabat-sahabat Muslim itulah, secara
perlahan-lahan Hana mulai tertarik dengan ilmu falsafah terutamanya falsafah
Islam. Sejak saat itu, Hana mula mempelajari falsafah Islam langsung dari
sumbernya iaitu Al-Quran. Kenyataan bahawa Al-Quran tetap sama seperti
sebelumnya memberi maksud bahawa sentiasa ada titik rujukan untuk semua
perkara. "Di dalam Al-Quran, saya menemukan banyak rujukan berkisar tentang
isu-isu mengenai hak wanita.
Semakin banyak saya membaca, semakin diri
saya bersetuju dengan idea-idea disebalik Al-Quran dan saya boleh melihat
bagaimana Islam boleh mewarnai kehidupan sahabat-sahabat Muslim saya. Namun
saat itu, keinginan untuk memeluk agama ini masih belum tiba. Sehinggalah tiba
pada satu titik yang mana saya tidak dapat mengatakan tidak pada diri saya
mengenai kebenaran agama ini, maka saya memutuskan untuk menjadi seorang Islam"
katanya.
Rasa kagumnya terhadap ajaran-ajaran yang
terkandung di dalam Al-Quran akhirnya membuatkan Hana memutuskan untuk memeluk
Islam. Tanpa menemui sebarang paksaan dan halangan, dengan hanya disaksikan oleh
teman-teman Muslimahnya, Hana pun mengucapkan dua kalimah syahadah. "Menyatakan
perkara tersebut kepada keluarga adalah sesuatu yang mudah. Saya tahu mereka
akan gembira selagi mana saya juga gembira, dan mereka boleh melihat ianya
adalah sesuatu yang baik," tuturnya.
Seperti halnya semasa Hana memutuskan untuk
memeluk Islam, begitu juga keputusan untuk mengenakan hijab datang tanpa
paksaan. Hana mula mengenakan hijab di hari sama dia mengucap dua kalimah
syahadah. "Ini merupakan cara terbaik bagi membezakan kehidupan saya di masa
lalu dengan kehidupan saya pada masa hadapan," ujarnya.
Keputusan untuk mengenakan hijab pada masa yang
sama menerima pelbagai reaksi dari orang-orang di sekelilingnya, terutamanya
kawan rapatnya. Sebelum mengenakan hijab, Hana sudah memahami fahaman negatif
terhadap orang-orang yang berhijab. "Saya tahu apa yang mereka fikirkan mengenai
hijab, tetapi saya akan bersikap berpura-pura tidak mengetahuinya. Namun seiring
dengan masa, orang-orang di sekitar saya kini sudah boleh menerima penampilan
saya dengan balutan hijab." katanya lagi.
Dalam blog peribadinya, Hana mengakui bahawa
menjadi seorang Muslimah di sebuah negara barat adalah sedikit menakutkan,
terutamanya ketika semua mata di sekitarnya memandangnya dengan pandangan yang
aneh. Maklum sajalah, sebahagian penduduk de negara-negara barat telah
dijangkita dengan wabak Islamofobia. "Oleh sebab itu, saya ingin menciptakan
sesuatu yang akan membantu para muslimah di mana jua untuk terus berusaha
mengatasi perasaan takut itu." ujarnya.
Kini, dengan busana Muslimah yang
dirancangkannya, kaum Muslimah di negara-negara barat mampu tampil dengan busana
yang boleh diterima oleh masyarakat di sana tanpa meninggalkan peraturan yang
ditetapkan Islam. Kini fesyen busana Muslimah yang diperkenalkannya bukan saja
mendapat sambutan yang hangat daripada muslimah di seluruh dunia, malah
penerimaan daripada yang bukan Islam juga sangat menggalakkan.
Harapan saya semoga ramai lagi di luar sana yang akan mendapat hidayah dari Allah Subhanahu Wata'ala... Insyaallah...
No comments:
Post a Comment